100 individu dua kerakyatan dihalau dari mengundi
26 SEPT: Lebih 100 individu disyaki memiliki dua kerakyatan yang cuba untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dihalau keluar dari memasuki perairan Sabah, kelmarin.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, berkata individu ini menaiki dua bot jongkong dan dua bot laju dikesan cuba memasuki perairan negara melalui sempadan laut di Sandakan.
“Kita terpaksa menghalang mereka kerana melalui jalan yang tidak sah,bukan menafikan hak mereka untuk mengundi tetapi cara mereka masuk tidak betul dan kita perlu halang.
“Kita percaya mereka mempunyai dua dokumen atau dwi kerakyatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, hari ini.
Dalam pada itu, Hazani memberitahu, halangan tersebut juga dilakukan bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 di negeri Sabah.
“Sepatutnya mereka perlu menggunakan laluan yang sah dan perlu melalui pemeriksaan kesihatan.
“Tetapi mereka menggunakan jalan belakang (tidak sah) dan kita perlu menghalang mereka bagi mengelak sebarang penularan wabak COVID-19 dalam masyarakat di Sabah,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai keadaan proses pengundi PRN, Hazani menambah, setakat ini tiada sebarang kejadian tidak diingini dan keadaan tenang dan terkawal di semua pusat mengundi di negeri ini.
“Sepanjang tempoh kempen yang berakhir tengah malam tadi, polis menerima sebanyak 193 laporan yang dibuat oleh pelbagai pihak.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 58 kertas siasatan dibuka dan kebanyakan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.