26 SEPT: Kes baharu positif COVID-19 menurun kepada 82 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 10,769 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes baharu itu membabitkan 79 penularan tempatan dan tiga kes import.
Menurut beliau, dengan pertambahan kes baharu itu ia menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan di negara ini sebanyak 851 kes.
“Sabah mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 64 kes manakala negeri lain antaranya Negeri Sembilan tiga kes dan Terengganu dua kes.
“11 daripada 79 kes tempatan pulang dari kawasan berisiko tinggi dan tiada kematian dan kluster baharu dilaporkan pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu sehingga kini seramai lapan individu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala empat lagi memerlukan bantuan pernafasan.
Dr Noor Hisham memaklumkan, ada 89 kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes sembuh COVID-19 di negara ini sebanyak 9,785 kes bersamaan 90.86 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Beliau turut memaklumkan tiada pertambahan kes dan jumlahnya kekal 133 kes atau 1.24 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH