26 SEPT: Dewan Pemuda PAS berharap kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan parti menganggotai Muafakat Nasional (MN) dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin berkata, Pemuda PAS melahirkan rasa syukur dan tahniah kepada GRS yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN) dan PN atas kemenangan PRN Sabah.
“Setelah kita dipertontonkan dengan segala kempen yang pelbagai daripada parti lawan, yang menggunakan sentimen kebencian dan hasutan kepada rakyat Sabah, akhirnya rakyat Sabah menunjukkan kematangan dalam memilih kerajaan yang benar-benar membawa kesejahteraan yang diinginkan.
“Kekalahan Warisan Plus dan rakan sekutu kuatnya DAP adalah petanda jelas yang rakyat sudah muak dengan permainan politik yang hanya bergantung kepada sentimen dan retorik yang memusnahkan pembangunan dan kemajuan negeri Sabah walaupun peluang selama 26 bulan telah diberikan oleh rakyat kepada mereka.
“Namun, kemenangan ini bukanlah suatu perkara yang perlu diambil sebagai kemenangan yang selesa kerana ianya adalah permulaan kepada kejayaan permuafakatan yang telah dibina sejak daripada MN terbentuk, sehinggalah peralihan kerajaan PN mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyataan media, malam ini.
Khairil Nizam berkata, Pemuda PAS berharap kemenangan ini akan membuahkan lagi kekuatan permuafakatan yang diidami rakyat Malaysia dan bersedia untuk berhadapan dengan cabaran yang lebih besar iaitu Pilihanraya Umum yang bakal berkumandang tidak lama lagi.
“Kekalkan fokus kita dalam memastikan tiada tangan durjana yang kembali memerintah negara dan meneruskan agenda rakyat yang terbukti membawa hasil yang cukup dirasai oleh semua lapisan rakyat di bawah kerajaan PN,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI