26 SEPT: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi sekiranya ia diadakan selepas penggal Parlimen Ke-14 berakhir pada 16 September 2023.
Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, ketika itu beliau sudah berumur 98 tahun.
Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian kepada media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mahathir memberitahu, adalah agak sukar untuk melaksanakan PRU-15 sekiranya Parlimen dibubar dalam masa terdekat.
“Dalam keadaan biasa boleh (dibubarkan) kerana PRU beri balik kuasa kepada rakyat tentukan siapa jadi kerajaan. Tetapi waktu ini negara hadapi masalah COVID-19, masalah ini menyebabkan kos untuk mengadakan PRU tinggi dan mendedahkan rakyat kepada penularan penyakit itu.
“Saya yakin kalau PRU diadakan seperti biasa, ramai rakyat akan terkena COVID-19, ramai akan maut, meninggal dunia. Soalnya sama ada kita lebih utamakan politik atau nyawa rakyat?,” katanya.
Desas-desus tentang kemungkinan PRU-15 diadakan lebih awal mula timbul setelah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu lalu mendakwa kononnya beliau mempunyai sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.
Namun, sehingga kini, Anwar masih belum mendedahkan senarai Ahli Parlimen yang menyokongnya justeru menimbulkan keraguan sama ada dakwaannya itu berasas atau sebaliknya.