26 SEPT: Semua individu yang tiba dari Sabah mulai esok hingga 10 Oktober ini akan disaring di pintu masuk domestik dan antarabangsa.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu dilaksanakan susulan peningkatan berterusan kes dan kluster COVID-19 di Sabah.
Setakat ini, empat daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna dikenal pasti sebagai Zon Merah, serta bilangan pelawat dikesan positif jangkitan wabak terbabit apabila kembali ke Semenanjung dari negeri itu.
Menurut beliau, sebanyak 10 kes positif dikesan sekembali individu terbabit dari Sabah antara 20 hingga 25 September lalu manakala 11 lagi kes positif dikesan di Semenanjung selepas individu berkenaan pulang dari Sabah.
“Mengambil kira situasi semasa ini, ada keperluan untuk melaksanakan langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan COVID-19 ke atas individu dengan sejarah perjalanan dari Sabah.
“Ia bagi memantau risiko penularan jangkitan dalam kalangan individu berkenaan. Mereka diwajibkan memuat turun dan mendaftar aplikasi MySejahtera serta daftar masuk menggunakan aplikasi itu setiba di pintu masuk domestik dan antarabangsa di negara ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dr Noor Hisham menambah, individu terbabit kemudian perlu melalui saringan gejala jangkitan saluran pernafasan dan ujian saringan pengesanan COVID-19 sejurus tiba di kedua-dua pintu masuk itu, serta menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).
Beliau memberitahu, semua individu terbabit akan diberi surat HSO dan dipakaikan gelang kuarantin manakala HSO akan bermula dari tarikh ketibaan mereka di kedua-dua pintu masuk itu sehingga keputusan makmal diperoleh.
“Pelepasan HSO akan diberikan sekiranya keputusan ujian makmal menunjukkan negatif COVID-19,” jelasnya.
Dr Noor Hisham berkata, jika ada individu yang perlu meneruskan perjalanan ke rumah masing-masing dengan menaiki kenderaan awam seperti teksi dan perkhidmatan e-hailling seperti Grab, surat kebenaran untuk ke alamat yang ditetapkan akan diberikan pada hari mereka tiba dan disaring.
Beliau menjelaskan, jika individu terbabit mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pulang, mereka perlu menjalani saringan ulangan bagi COVID-19.
Katanya, saringan terhadap individu (warganegara dan bukan warganegara) yang pulang dari Sabah itu dikecualikan daripada caj ujian COVID-19.
“Tempoh pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan COVID-19 terhadap individu yang baru pulang dari Sabah akan disemak dari semasa ke semasa, berdasarkan penilaian risiko penularan jangkitan pada masa itu dan maklumat mengenai sebarang perubahan berkaitannya akan dimaklumkan kepada umum,” ujarnya.