26 SEPT: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, memerlukan sedikit masa untuk membuat keputusan berhubung pelantikan Ketua Menteri yang baharu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, kepada pemberita di pekarangan Istana Negeri, di sini, sebentar tadi.
“Tuan Yang Terutama meminta sedikit masa tetapi ia akan ditentukan secepat mungkin,” katanya sebelum beredar meninggalkan Istana Negeri.
Sementara itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata beliau menyerahkan kepada Juhar untuk membuat keputusan berhubung perkara berkenaan.
“Tuan Yang Terutama akan putuskan,” katanya ringkas.
Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim, turut berkata pihaknya menyerahkan kepada Juhar dalam menentukan pelantikan Ketua Menteri yang baharu.
“Proses berjalan lancar dan ia adalah satu perbincangan yang baik. Kita serahkan kepada Tuan Yang Terutama untuk membuat keputusan,” katanya.