Oleh: HUSSAINI AMRAN
RAMAI pihak yang bersikap pesimistik terhadap kemampuan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menamatkan penguasaan Parti Warisan Sabah (Warisan) sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula.
Pandangan mereka adalah bersandarkan kepada kelebihan yang dimiliki oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai penyandang jawatan Ketua Menteri Sabah.
Selain itu, sentimen ‘anti-parti Malaya’ yang ditanamkan oleh Warisan dikhuatiri sedikit sebanyak boleh mempengaruhi sentimen pengundi terhadap parti-parti yang berasal dari Semenanjung iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO.
Walhal, pada masa yang sama, Warisan sendiri bekerjasama dengan tiga parti Malaya iaitu DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) dalam kerangka Warisan Plus.
Mohd Shafie juga seolah-olah terlalu yakin partinya tidak berdepan masalah untuk memperoleh majoriti mudah dan berkuasa semula di Sabah bagi penggal kedua.
Mungkin atas keyakinan itu, beliau berani mencadangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada hujung Julai lalu setelah kehilangan sokongan majoriti.
Beberapa pemerhati menjangka pertambahan 13 kerusi DUN baharu dalam PRN Sabah Ke-16 memberi kelebihan kepada Warisan Plus.
Namun, keputusan PRN Sabah semalam yang menyaksikan Warisan Plus tumpas di tangan GRS membuktikan langkah yang diambil Mohd Shafie bagi menyelamatkan partinya adalah sumbang.
Kegagalan Warisan Plus mempertahankan tampuk kekuasaan membuktikan terlalu banyak kelemahan dalam pentadbiran mereka sebelum ini.
Keengganan Mohd Shafie bekerjasama dengan kerajaan Pusat yang diterajui Perikatan Nasional (PN) menyukarkan usaha memastikan pembangunan di negeri itu berjalan lancar.
Rakyat Sabah yang sememangnya matang dalam berpolitik dapat melihat sendiri banyak manfaat yang dinikmati mereka sekiranya kerajaan negeri Sabah sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.
Mereka pernah mengalaminya semasa zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu dan kini, mereka percaya kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh melakukan dengan lebih baik.
Melalui pelbagai inisiatif Prihatin yang dilaksanakan kerajaan PN, rakyat Sabah dapat melihat kecekapan jentera pentadbiran di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memastikan kebajikan mereka dipelihara sebaik-baiknya dalam situasi COVID-19 yang masih belum reda.
Dari segi politik pula, pakatan bersama DAP dan PKR merupakan satu resipi kegagalan. PAN boleh diabaikan kerana parti itu tidak relevan dalam dunia politik di Sabah atau nasional.
Kaum bumiputera di Sabah pasti bimbang tentang jaminan hak-hak mereka dipelihara oleh Warisan Plus kerana DAP dikenali sebagai parti yang tegar memperjuangkan ideologi Malaysian Malaysia sejak penubuhannya.
Seluruh rakyat Malaysia dapat melihat bagaimana DAP naik tocang semasa Pakatan Harapan (PH) berkuasa selama 22 bulan dahulu dan rakyat Sabah tidak mahu mengalami perkara yang sama.
PKR pula lebih mementingkan agenda menjulang Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri tanpa mempedulikan isu-isu lain yang lebih penting melibatkan rakyat secara keseluruhan.
Buktinya dapat dilihat sendiri apabila Ahli Parlimen Port Dickson itu mengumumkan kononnya beliau beroleh sokongan majoriti Ahli Parlimen ketika sekutu-sekutunya di Sabah berhempas-pulas berkempen.
Satu kesan yang ketara adalah dakwaan karut Anwar itu telah mencuri publisiti yang sepatutnya ditumpukan terhadap kempen PRN Sabah yang amat bergantung kepada penguasaan media sosial ketika negara masih belum bebas daripada ancaman COVID-19.
Strategi kurang bijak Anwar itu mungkin menyebabkan rakyat Sabah semakin meluat dengan PKR sehingga mengakibatkan parti yang tanpa hala tuju jelas di Sabah tersebut cuma mampu menang dua daripada tujuh kerusi yang ditandingi.
Masih belum terlambat untuk Mohd Shafie menginsafi kesilapan yang dilakukannya.
Tidak mustahil GRS bersedia menerima beliau dan Warisan dengan hati yang terbuka sekiranya parti itu sanggup meninggalkan DAP dan PKR yang semakin dibenci rakyat Malaysia.
Mungkin bukan sebagai Ketua Menteri namun dengan penyertaan Warisan, kerajaan negeri Sabah di bawah GRS pasti lebih kukuh dan stabil sekali gus memudahkan usaha memajukan Negeri di Bawah Bayu itu.
Malah, Warisan boleh menyumbang ke arah usaha murni itu bagi menebus kegagalan mereka semasa berkuasa dahulu.
Mudah-mudahan Mohd Shafie membuat keputusan yang tepat kali ini dan tidak mengulangi langkah sumbang yang boleh menyebabkan Warisan terus terkubur dalam dunia politik Malaysia.
Penulis ialah Penolong Pengarang Berita PN BBC Portal