27 SEPT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara rasmi memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 apabila gabungan parti-parti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) itu menguasai 38 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Secara terperinci, PN beroleh 17 kerusi diikuti BN (14 kerusi) dan PBS (7 kerusi).
Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal terpaksa berputih mata apabila gagal mempertahankan kedudukannya sebagai kerajaan negeri Sabah.
Warisan beroleh 29 kerusi manakala sekutu-sekutunya dalam Warisan Plus iaitu PKR hanya meraih dua kerusi manakala UPKO cuma beroleh satu kerusi.
Baki tiga kerusi lagi dimenangi oleh calon-calon Bebas.
Dengan kemenangan itu, GRS layak membentuk kerajaan negeri di Sabah bagi mengambil alih pentadbiran daripada Warisan yang hanya sempat berkuasa kira-kira dua tahun.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, seramai 749,083 orang atau 66.61 peratus telah mengundi dan jumlah tersebut meliputi jumlah pengundi biasa, pengundi awal dan pengundi pos yang telah mengundi.
Secara keseluruhan, beliau memberitahu, SPR berpuas hati dengan proses pengundian semalam dan pengundi-pengundi berdaftar telah dapat menunaikan hak dan tanggungjawab mereka.
“Selain itu, PRN Sabah Ke-16 juga tidak berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini yang boleh menjejaskan proses pilihan raya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Abdul Ghani menambah, dalam melaksanakan urusan pilihan raya, SPR sentiasa mengikut undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.
Beliau menjelaskan, SPR telah mencuba sedaya-upaya yang boleh untuk menjadikan PRN Sabah Ke-16 yang terbaik.
“SPR akan mengkaji segala kelemahan yang berlaku dan akan menambah baiknya,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN