27 SEPT: PAS akan terus memberi sumbangan dalam usaha memperkukuhkan perpaduan dan kebajikan rakyat secara bersama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengucapkan tahniah kepada GRS yang diterajui Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) atas kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Kepada pengundi, terima kasih atas kepercayaan ini. Kepada sekalian wakil rakyat, tunaikanlah tanggungjawab dengan sebaiknya demi kemaslahatan agama, bangsa dan negara.
“Insya-Allah PAS akan turut menyumbang dalam usaha memperkukuh perpaduan dan membela kebajikan rakyat secara bersama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
GRS yang disertai Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) memenangi 38 kerusi dalam PRN Sabah, semalam.
Setakat ini, calon Bebas yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong, Rubin Balang mengesahkan sokongan terhadap PN.
PAS merupakan salah sebuah parti yang menyertai PN di samping Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP). – Oleh HAIKA KHAZI