28 SEPT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebulat suara sepakat menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru.
Perkara itu diumumkan dalam sidang akhbar khas kepimpinan GRS di Kota Kinabalu, sebentar tadi.
Hajiji, 65, merupakan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah.
Hajiji mengesahkan akan mengangkat sumpah sebagai esok pada pukul 10.30 pagi.
“Kami akan tunaikan tanggungjawab dan mandat rakyat sebaiknya.
“Saya berterima kasih kepada rakyat Sabah kerana memilih pemimpin daripada GRS,” katanya pada satu sidang media di The Magellan Hotel pada Isnin.
Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Masidi Manjun dalam Twitter beliau turut memaklumkan Haji bakal mengangkat sumpah Ketua Menteri esok.
“Hajiji Mohd Noor adalah ketua menteri baru Sabah. Beliau dijangka mengangkat sumpah pagi esok,” kata ADUN Karanaan itu.
Terdahulu Hajiji bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan pemimpin parti GRS yang lain mengadakan perbincangan di hotel tersebut sebelum melalukan sidang media bersama.
Bung Moktar yang turut menyertai sidang media memaklumkan, kesepakatan ini dicapai bagi kepentingan rakyat Sabah bagi melihat kemajuan negeri setelah tenggelam di bawah Warisan.
“Dengan kerjasama semua pihak saya yakin, selepas Hajiji dinobat sebagai Ketua Menteri Sabah esok, kita akan mulakan langkah supaya rakyat Sabah akan mendapat perhatian daripada kerajaan negeri yang baru.
“Kita tidak akan lagi main politik , kita akan memikirkan masalah negeri Sabah,” yang disambut tepukan ADUN lain.
Turut hadir dalam pertemuan berkenaan pemimpin pusat Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Istiadat angkat sumpah Ketua Menteri Sabah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dijadualkan jam 10.30 pagi esok di Kota Kinabalu.
Pengumuman ini melenyapkan pelbagai spekulasi politik selepas kemenangan bersejarah GRS pada PRN Sabah Sabtu lalu.
Sementara itu, kenderaan membawa Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim dilihat memasuki pekarangan Istana Negeri tadi.
Jahid yang ditemui media kemudian memaklumkan kehadiran beliau untuk menyerahkan dokumen sokongan 41 ADUN berhubung calon Ketua Menteri kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin. -Oleh M. HERMAN HAMID