28 SEPT: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan beliau sudah menerima watikah pelantikan sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu daripada pihak Istana Negeri.
“Alhamdulillah. Yang di-Pertua Negeri sudah menjemput untuk memaklumkan saya bakal dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah.
“Pihak istana turut memaklumkan saya akan mengangkat sumpah jam 10 pagi esok,” katanya ketika ditemui wakil media selepas menemui Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.
Hajiji, 65, tiba di pintu masuk utama Istana Negeri sekitar jam 3.55 petang, pertemuan terbabit berlangsung kira-kira sejam.
Terdahulu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini sebulat suara menamakan Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman sebagai calon Ketua Menteri Sabah yang baharu.
Hajiji merupakan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah.