28 SEPT: Waktu menunggu yang panjang bagi ketibaan dari Sabah untuk menjalani saringan COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disebabkan jumlah penumpang yang ramai.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setiap penumpang akan menjalani saringan antara 10 hingga 15 minit sahaja tetapi gilirannya mungkin mengambil masa kerana penumpang yang ramai.
“Bagi satu kapal terbang masa yang dijangka diambil ialah sekurang-kurangnya dua jam, mungkin lebih. Kalau lebih daripada satu kapal terbang iaitu tiga atau empat kapal terbang yang tiba ia mungkin mengambil masa panjang.
“Masalah yang berlaku ialah kerana ramai penumpang. Jadi kena tunggu dan bersabar,” katanya mengulas mengenai aduan dan laporan terdapat penumpang yang terpaksa menunggu sehingga enam jam untuk menjalani ujian COVID-19.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan 7th Malaysia Breast Care Nurse Meeting 2020 di Institut Kanser Negara di Putrajaya hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, KKM telah menambah 90 lagi petugas di terminal utama KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), menjadikan jumlah petugas seramai 400 orang.
Individu yang baru tiba dari Sabah diwajibkan menjalani saringan COVID-19 di kawasan pintu masuk bermula 27 September hingga 10 Oktober ini.
Malam tadi, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bersama pengurusan kanan KKM turut meninjau proses saringan di KLIA setelah pelbagai pihak mengemukakan aduan barisan panjang untuk menyelesaikan proses tersebut.
Dr. Noor Hisham yang turut melawat KLIA pada 3 pagi hingga 5 pagi tadi berkata, keadaan masih terkawal dan terdapat petugas KKM yang bekerja syif berganda iaitu sehingga 16 jam.
Menurutnya, ujian swab dilaksanakan melalui dua kaedah iaitu swab hidung dan mulut, kemudian penumpang akan dipakaikan gelang, diberi keterangan mengenai COVID-19 dan tindakan yang perlu mereka ambil.
Dr Noor Hisham berkata, keputusan ujian saringan ke atas penumpang dari Sabah akan diketahui dalam masa 24 hingga 72 jam.
“Mereka yang positif akan dihantar ke hospital manakala yang negatif tapi ada terdedah kepada kes positif akan dikuarantin 14 hari,” katanya.