28 SEPT: Sebanyak 115 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan hari ini membabitkan 112 kes penularan tempatan dan tiga kes import.
Daripada jumlah penularan tempatan itu, 11 kes dikesan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah melibatkan beberapa negeri termasuk Selangor yang melaporkan satu kluster baru iaitu Kluster Jalan Apas.
Perkembangan ini juga menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini kembali empat angka iaitu 1,011 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 98 kes adalah di Sabah dengan 46 kes daripada Kluster Bangau-Bangau diikuti 39 kes daripada Kluster Benteng LD.
Katanya, dua lagi kes daripada Kluster Pulau dan satu Kluster Buang Sayang manakala masing-masing satu kes saringan petugas kesihatan dan satu saringan kontak kepada kes positif COVID-19 ke-11022.
Ujarnya, Selangor pula melaporkan 10 kes baru dengan enam kes daripada kluster baharu iaitu, Kluster Jalan Apas yang kesemuanya melibatkan warganegara.
“Empat kes lagi setelah saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang kesemuanya melibatkan warganegara.
“Kedah pula lapor satu kes daripada Kluster Sungai, Melaka satu kes saringan pra pembedahan, Terengganu satu kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) dan satu lagi di Wilayah Persekutuan Labuan melibatkan kes saringan kontak rapat kes ke-10,218,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Menurut Noor Hisham, kes indeks bagi kluster Jalan Apas adalah kes ke-10782 dan kes ke 10783 yang merupakan pasangan suami isteri warganegara Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau dan Semporna, Sabah dari 13 hingga 16 September 2020.
Katanya, kedua-dua kes indeks mula bergejala demam, batuk, dan selesema pada 18 September 2020 yang kemudian mendapatkan rawatan di pusat perubatan pada 19 September 2020.
“Mereka kemudian dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 24 September 2020, didapati positif COVID-19 pada 26 September 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.
“Hasil saringan kontak rapat mendapati enam lagi kes positif COVID-19 pada 27 September 2020. Sehingga kini, seramai 66 individu telah disaring dengan dua individu masih menunggu keputusan.
“Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi-lokasi yang terbabit. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.
Tambah Noor Hisham, perkembangan ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sudah menjangkau 11,034 kes dengan jumlah kes aktif 1,011 kes.
“Hingga kini seramai lapan individu sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lima daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
“Tiga kes import yang dilaporkan hari ini melibatkan penulara dari India,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan hingga jam 12 tengah hari ini seramai 54 kes sudah sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh di negara ini sebanyak 9,889 kes bersamaan 89.62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Beliau turut memaklumkan tiada pertambahan kes kematian di negara ini dan jumlahnya kekal 134 kes atau 1.21 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. -Oleh M. HERMAN HAMID