28 SEPT: Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Sabah dijadualkan berlangsung di Istana Negeri, Kota Kinabalu pada jam 10.30 pagi, esok.
Ia berdasarkan maklumat sumber Istana Negeri kepada Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Negeri Sabah, sebentar tadi.
Bagaimanapun, setakat 10 pagi ini pengamal media masih menunggu di hadapan pintu masuk istana bagi memantau sebarang perkembangan daripada semasa ke semasa.
Terdahulu beberapa media tempatan melaporkan tiada sebarang pergerakan masuk kenderaan yang membawa rombongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sejak pagi dan pintu utama masih dikawal ketat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Setakat ini, ADUN Sulaman, Datuk Seri Hajiji Noor dan ADUN Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin disebut-sebut bakal calon Ketua Menteri Sabah yang baru.
Hajiji adalah Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah manakala Bung Moktar adalah Pengerusi UMNO Sabah.
Bagaimanapun masih belum ada pengumuman rasmi mengenai siapa yang bakal mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri esok.
Pada masa sama, ada media tertentu melaporkan spekulasi mengenai usaha Parti Warisan Sabah (Warisan) yang masih belum mengangkat ‘bendera putih’ setelah kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu lalu.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memperoleh 38 kerusi kini mempunyai sokongan tiga ADUN Bebas.
Pemimpin utama parti yang membentuk GRS dilaporkan mennghadap Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama Tun Juhar Mahiruddin semalam.