28 SEPT: Warisan Plus dilihat cuba cuba menggunakan taktik kotor memujuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Bersatu Sabah (PBS) supaya menyertai mereka untuk menubuhkan kerajaan baharu.
Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, sepatutnya Warisan menerima kekalahan mereka sebagai ketentuan tuhan sejajar slogan kempen parti itu “Percaya Kepada Tuhan” pada Pilihan Raya (PRN) Sabah.
“Sahabatku Warisan Plus, tolong berpegang kepada slogan ‘Percaya Kepada Tuhan’ yang kamu gunakan sepanjang kempen PRN, ” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.
Justeru, beliau meminta Warisan Plus yang diketuai Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal agar menerima kenyataan bahawa kerajaan negeri yang baharu telah pun dibentuk oleh parti gabungan GRS.
“Selain itu, kamu harus hormati keputusan PRN ke-16 sebagaimana ketentuan Tuhan. Terima kasih,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial bahawa PBS mendakwa Warisan Plus mula menghubungi wakil rakyatnya untuk “membeli” kerusi dengan menawarkan jawatan.
Sementara itu, dalam sidang media khas sebentar tadi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sepakat menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru.
Hajiji mengesahkan akan mengangkat sumpah sebagai esok pada pukul 10.30 pagi. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH