29 SEPT: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) tetap dengan pendiriannya untuk tidak kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 yang dijangka akan dilaksanakan awal tahun hadapan.
Naib Presiden Kanannya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, buat masa ini partinya tetap dengan keputusan untuk kekal bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS), namun tetap menjalin kerjasama erat dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, memajukan negeri itu serta mengembalikan hak-hak Sarawak seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merupakan keutamaan PBB.
“Sejak keluar BN kami bersifat mesra dengan kerajaan Persekutuan dan kita juga bekerjasama erat dengan PN iaitu gabungan Ahli Parlimen yang terdiri dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS, UMNO dan juga komponen BN,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pelan Strategik Jabatan Kerja Raya Malaysia 2021-2025 di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang di Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Fadillah yang juga merupakan Menteri Kerja Raya memberitahu pihaknya kini mahu memberi tumpuan kepada pembangunan di Sarawak dan hak-hak negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963.
“Saya juga tidak tahu apakah pilihan raya negeri akan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti, itu pun kena tanya Ketua Menteri kami dan juga Perdana Menteri,” katanya.