30 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 98 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 95 individu telah dikompaun manakala tiga orang direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub dan kelab malam (34), penjarakan fizikal (24), tidak memakai pelitup muka (22), gagal melunaskan caj kuarantin (10) dan gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (8),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau memberitahu, dalam Operasi Benteng semalam, pasukan keselamatan berjaya menangkap seramai 34 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan empat penyeludup.
“Turut berjaya dirampas, enam kenderaan darat dan sebanyak 84 sekatan jalan raya dilakukan semalam,” jelasnya.
Ismail Sabri menambah, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 1,204 pemeriksaan khas Pematuhan prosedur operasi standar (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.
“Mereka mendapati 1,186 premis mematuhi SOP yang telah ditetapkan manakala 18 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN