30 SEPT: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) umum pengagihan pendapatan berjumlah RM645.9 juta untuk Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3), ASN Equity 5 dan ASN Sara 2 bagi tahun kewangan berakhir 30 September, 2020.
Permodalan Nasional Bhd (PNB) berkata, bagi dana unit amanah harga tetap ASM 3, pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM571.3 juta yang memberi manfaat kepada 513,721 pemegang unit dengan pegangan 14.3 bilion unit.
“Dalam keadaan ekonomi yang sangat mencabar dan ketidaktentuan pasaran akibat pandemik COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularannya, pulangan 4.00 sen seunit ini kekal kompetitif.
“Ini juga mengatasi penanda aras pulangan deposit tetap 12 bulan Maybank pada kadar 2.51 peratus sebanyak 149 mata asas bagi tahun kewangan semasa setakat 24 September, 2020,” menurut kenyataan PNB hari ini.
Ia berkata, ASNB juga mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM12.7 juta untuk dana harga berubah ASN Equity 5, iaitu 3.10 sen seunit kepada 11,029 pemegang unit yang memiliki 413.2 juta unit.
Ini menjadikan hasil dividen sebanyak 3.51 peratus berdasarkan Nilai Aset Bersih (NAB) dana pada 24 September, menurutnya.
Syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia itu juga berkata bagi dana harga berubah ASN Sara 2 pula mengagihkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM61.9 juta.
PNB berkata jumlah itu bersamaan dengan 3.60 sen seunit untuk memberi manfaat kepada 39,559 pemegang unit yang memiliki lebih 1.7 bilion unit, menjadikan hasil dividen sebanyak 3.61 peratus berdasarkan NAB dana pada 24 Sept, 2020.
Walaupun indeks FBM KLCI susut 5.25 peratus untuk tahun kewangan semasa dan setakat 24 Sept, 2020 dan keadaan pasaran yang tidak menentu PNB tetap komited untuk memberi pulangan yang kompetitif kepada pemegang unit bagi dana-dana ini, menurutnya.
Ini juga akan membantu kesemua pemegang unit sepanjang perjuangan yang berterusan melawan pandemik ini.
“PNB juga telah melaksanakan beberapa strategi untuk meluaskan portfolio pelaburan dengan mempelbagaikan portfolio dalam ekuiti antarabangsa dan memberi fokus kepada sektor yang kurang rentan terhadap persekitaran ekonomi semasa,” kata PNB.
Ia berkata, pengagihan pendapatan yang diisytiharkan oleh ASM 3, ASN Equity 5 dan ASN Sara 2 diperoleh daripada keuntungan dana yang direalisasikan, dividen dan lain-lain pendapatan.
“Ini adalah selaras dengan objektif PNB untuk memberikan pulangan mampan kepada pemegang unit dalam jangka panjang,” katanya.
Pengagihan pendapatan bagi ASM 3 dikira berdasarkan purata baki minimum bulanan sepanjang tahun kewangan, manakala ASN Equity 5 dan ASN Sara 2 pula berasaskan jumlah unit yang dimiliki pada hujung tahun kewangan dana tersebut.
Pembayaran pengagihan pendapatan yang diumumkan akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit dan dikreditkan secara automatik pada 1 Oktober, 2020 untuk ASM 3, dan pada 2 Oktober, 2020 untuk ASN Equity 5 dan ASN Sara 2, menurutnya.
Semua urus niaga di semua cawangan dan ejen ASNB seluruh negara telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 24 September hingga 30 September untuk ASM 3 manakala dari 29 September, hingga 1 Oktober, 2020 untuk ASN Equity 5 dan ASN Sara 2 bertujuan memudahkan pengiraan pengagihan pendapatan.