30 SEPT: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengadakan pertemuan bersama pemimpin parti komponen hari ini, namun Pengerusinya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjelaskan ia hanya satu mesyuarat biasa.
Menurut Ketua Menteri Sarawak itu, GPS juga belum membincangkan secara khusus soal persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 walaupun ramai meramalkan ia akan diadakan dalam tempoh terdekat.
Katanya, mesyuarat GPS hari ini juga hanyalah pertemuan biasa beliau bersama rakan-rakan dalam gabungan parti berkenaan.
“Kami (pemimpin GPS) hanya mengadakan perjumpaan biasa, tiada yang apa yang lain,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Usahawan Mikro Kebajikan di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.
Abang Johari turut menafikan mesyuarat itu berkaitan bedah siasat keputusan PRN Sabah sebagai persediaan pihaknya untuk menghadapi PRN Sarawak.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, beliau membayangkan PRN Sarawak Ke-12 dijangka tidak akan diadakan November ini, seperti yang diramal banyak pihak.
Ini kerana katanya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan bersidang pada awal November ini.
“Pada persidangan itu, saya akan membentangkan Belanjawan Sarawak 2021 dan banyak pengumuman yang akan saya buat,” katanya.