30 SEPT: Hubungan baik di antara kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memberi kelebihan kepada rakyat Sabah.
Presiden Persatuan Pengamal Adat Sabah (Sunduan Nabalu), Shalmon Sanangan yakin pembentukan kerajaan negeri yang baharu mampu membawa sinar harapan buat rakyat di negeri tersebut.
“Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Sabah yang baru, Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Dr Joachim Gunsalam serta semua menteri yang telah mengangkat sumpah.
“Rakyat sebenarnya dahagakan kestabilan politik dan keselamatan. Gandingan mantap dan pengalaman mereka ini akan memacu Sabah ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
GRS berjaya membentuk kerajaan negeri di Sabah setelah memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilihat sebagai seorang pemimpin yang ikhlas membantu rakyat telah mengubah persepsi masyarakat di Sabah secara amnya.
Shalmon memberitahu, walaupun pembangkang terus bermain politik namun Muhyiddin tetap tenang turun padang dan membantu rakyat.
“Kita menggesa semua masyarakat orang asal berganding bahu untuk bersama-sama membangun dalam pentadbiran baru kerajaan. Sebelum ini banyak masa dihabiskan untuk berpolitik berbanding menjaga kebajikan rakyat.
“Oleh itu, saya menggesa rakyat marhaen di Sabah sekali lagi untuk bersama-sama kerajaan baharu dalam membangunkan negara,” jelasnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH