30 SEPT: Setelah 11 negeri melaporkan kes baru COVID-19 semalam, hari ini semua negeri kecuali Melaka mencatatkan penularan baru wabak berkenaan.
Keseluruhannya 89 kes baru dilaporkan dengan majoriti kes adalah di luar Sabah melibatkan 54 kes.
Selain Sabah mencatatkan kes tertinggi dengan 35 kes, kedua tertinggi ialah Kedah dengan 13 kes, Selangor (10), Johor (lapan) dan Wilayah Persekutuan (tujuh termasuk satu di Labuan).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 89 kes baru hari ini, terdapat tiga kes import melibatkan bukan warganegara.
Beliau berkata, mendukacitakan apabila terdapat dua kes kematian dilaporan dan ini menjadikan jumlah kumulatif kematian COVID-19 mencecah 136 orang.
“Hari ini, sebanyak 28 kes pulih dilaporkan dan ini menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di seluruh negara berjumlah 1,121 kes.
“Seramai 16 individu dijangkiti COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala tiga daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menut Noor Hisham, keseluruhannya terdapat 11,224 kes positif COVID-19 dilaporkan setakat ini dengan 9,967 telah discaj.
Sementara itu, katanya, Kedah melaporkan satu lagi kluster iaitu Kluster Tembok dengan tiga kes baru dilaporkan melibatkan warganegara.
“Di Sabah pula, sembilan kes dari kluster Bangau-Bangau, empat dari kluster Benteng LD manakala 18 lagi dikesan menerusi saringan bergejala.
“Kluster Bakawali di Johor pula melaporkan tujuh kes baru hari ini,” jelasnya.
Kata Noor Hisham, dua kes yang dilaporkan melibatkan satu kes di Hospital Bahiyah, Alor Setar dan satu lagi di Hospital Tawau.
” Kes kematian ke-135 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 46 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, jantung dan buah pinggang.
“Kes mula mengalami gejala sejak 21 September. Pada 28 September kes mengalami sesak nafas dan telah dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah. Keadaan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada hari yang sama jam 6.15 petang. Hasil saringan COVID-19 didapati positif.
“Kes ke-136 pula merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 70 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit barah peringkat akhir. Kes telah meninggal dunia di rumah pada 26 September 2020 dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Tawau, Sabah. Hasil saringan COVID-19 didapati positif pada 29 September 2020,” ujarnya.