1 OKT: Biro Politik dan Majlis Tertinggi UMNO akan membincangkan hala tuju parti selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara ini soal penting, justeru tidak sesuai untuk beliau memutuskannya tanpa persetujuan bersama.
“Ini soal penting. Tidak sesuai saya bercakap atau memutuskannya tanpa persetujuan bersama. Ketika ini kita sedang melakukan post mortem menyeluruh.
“Semua pimpinan parti boleh memberikan pandangan dalam mesyuarat itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Pagi ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam satu kenyataan meminta Ahmad Zahid menentukan hala tuju UMNO .
Kata Mohamad, perkara itu juga perlu dilakukan segera bagi membolehkan proses menyediakan diri dilakukan parti.
Apa yang berlaku di Sabah memerlukan UMNO memikirkan semula pendekatan politiknya, kata Mohamad dan jika Sabah dijadikan sandaran, kelangsungan, pengaruh dan keterlihatan UMNO akan terus terjejas dalam jangka masa pendek dan akhirnya melemahkan UMNO dalam jangka waktu panjang.