1 OKT: Jemaah Menteri Sabah yang bermesyuarat buat kali pertama hari ini selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 meluluskan peruntukan segera RM50 juta bagi membantu rakyat yang terjejas akibat penularan COVID-19.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Jemaah Menteri Sabah membincangkan isu berkaitan pandemik COVID-19 termasuk usaha mengekang penularan wabak berkenaan di negeri ini.
“Daripada jumlah itu, RM10 juta diperuntukkan untuk bakul makanan kepada penduduk-penduduk terkesan di empat daerah terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar iaitu Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Hajiji mempengerusikan mesyuarat Kabinet Sabah yang pertama selepas mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah yang baharu sekali gus membentuk kerajaan negeri pada Selasa.
Turut hadir pada mesyuarat berkenaan ialah ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam, selain dua lagi menteri Kabinet iaitu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun serta Menteri Pembangunan Luar Sabah, Datuk Jahid Jahim.
Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata semua pengurusan berkaitan isu COVID-19 di Sabah juga akan dikendalikan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 negeri.
Beliau berkata jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong, manakala Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi pula menjadi timbalan pengerusi dan ahli-ahlinya terdiri daripada agensi negeri serta persekutuan yang berkaitan.
“Dengan ini, Sabah COVID-19 Command Centre dimansuhkan dan peranannya diletakkan di bawah jawatankuasa ini,” katanya.