1 OKT: Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad tidak percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen memandangkan Presiden PKR itu gagal menunjukkan bukti bagi menyokong dakwaannya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, dakwaan sedemikian bukan yang pertama dibuat oleh Anwar.
“Yelah, dia kata. Tapi dia tak bagi nama. Dia kata kononnya bila dah jumpa Agong dia boleh bagi nama
“Kepada kita tak boleh bagi nama. Tak bagi nama, saya tak percaya lah,” katanya seperti dilaporkan oleh portal MalaysiaNow, hari ini.
Minggu lalu, Anwar mengumumkan kononnya beliau beroleh sokongan yang ‘kukuh dan meyakinkan’ daripada majoriti Ahli Parlimen dalam komplot menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Namun, Ahli Parlimen Port Dickson itu enggan mendedahkan jumlah sokongan dan senarai Ahli Parlimen terbabit walaupun didesak bertubi-tubi oleh pelbagai pihak termasuk pengamal media.
Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi turut mengulangi pendiriannya bahawa Pejuang tidak akan menyertai komplot yang dirancang oleh Anwar itu.
“Sekarang dia kata cukup bilang nak bentuk kerajaan pun saya tak termasuk,” jelasnya.
Penegasan Dr Mahathir itu sekali gus menambah keraguan berhubung jumlah Ahli Parlimen yang menyokong Anwar kerana sekurang-kurangnya lima wakil rakyat dari Pejuang tidak menyertainya.