2 OKT: Isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak khususnya yang melibatkan warga asing adalah kompleks kerana melibatkan faktor penentu yang unik dan berbeza bagi setiap negara serta berkait rapat dengan latar belakang ekonomi, perbezaan struktur sosiobudaya, peraturan dan undang-undang tempatan.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kementeriannya telah mengambil langkah permulaan menangani isu ini melalui pelaksanaan kajian awal situasi buruh dalam sektor perladangan sawit pada tahun 2014.
Menurut beliau, pada 2018, Kementerian Perusahaaan Perladangan dan Komoditi dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) selaku perunding teknikal kajian telah melaksanakan kajian menyeluruh situasi buruh di sektor perladangan sawit Malaysia bagi memastikan hasil kajian yang lebih komprehensif.
“Sebagai makluman, kementerian telah membentangkan kajian situasi buruh sektor perladangan sawit Malaysia dan telah diterima oleh Kabinet pada 24 Julai 2020.
“Dalam hal ini, laporan akhir kajian menyeluruh itu akan dikemukakan kepada Jabatan Buruh (DOL) Amerika Syarikat (AS) dan ILO sebagai salah satu inisiatif untuk mengeluarkan sektor perladangan sawit Malaysia daripada Senarai TVPRA.
“Langkah ini diharap dapat mengelakkan sekatan ke atas produk agrikomoditi negara pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kelmarin, media melaporkan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS menyekat semua produk FGV Holdings Bhd (FGV) bermula 30 September 2020 dari diimport susulan penyiasatan mendapati terdapat penggunaan buruh paksa termasuk penipuan, sekatan pergerakan, pengasingan, keganasan fizikal dan seksual, intimidasi dan ancaman, penyimpanan dokumen pengenalan diri, penahanan gaji, perhambaan hutang, keadaan hidup serta kerja berlebihan.
FGV dalam kenyataan media semalam menafikan dakwaan tersebut.
Mohd Khairuddin menambah, kementeriannya akan terus mengadakan sesi libat urus dengan pemegang-pemegang taruh bagi mencari penyelesaian efektif untuk menangani isu tersebut.
Selain itu, beliau memberitahu, program jelajah turut dijalankan bagi memberi pemahaman dan penjelasan mengenai keperluan pematuhan syarat-syarat perburuhan untuk memastikan tiada amalan sedia ada boleh dikaitkan dengan buruh paksa.
“Namun, ia adalah proses berterusan dan akan memakan masa,” jelasnya.
Mohd Khairuddin menjelaskan, Malaysia komited mengenai isu perburuhan dalam sektor perladangan komoditi ini di mana elemen kawalan perburuhan telah dimasukkan sebagai salah satu syarat pelesenan ladang sawit di bawah pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang berkuat kuasa secara mandatori mulai 1 Januari 2020.
“Pemahaman mengenai kewujudan buruh paksa dan buruh kanak-kanak dalam konteks ekonomi dan budaya Malaysia serta usaha kolektif pelbagai pihak dalam isu ini amat penting untuk meyakinkan komuniti antarabangsa tentang komitmen utuh dan kesediaan kerajaan dalam usaha untuk menangani isu-isu terbabit dalam berkenaan khususnya dan sektor agrikomoditi amnya,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN