2 OKT: Polis sudah merekod keterangan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berhubung kenyataannya mengenai kitab Injil di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata percakapan Nik Muhammad Zawawi itu direkod Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) JSJ Bukit Aman pada 18 September lalu.
Mior Faridalathrash berkata sehingga kini polis menerima 22 laporan berhubung isu terbabit di seluruh negara.
“Kertas siasatan diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Sarawak pada pertengahan bulan lalu untuk dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.
Pada 10 September lalu, polis Sarawak dilaporkan menerima 16 laporan berkaitan kenyataan Nik Muhammad Zawawi itu.
Sebelum ini, Nik Muhammad Zawawi menerusi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dalam sidang Dewan Rakyat dipetik berkata, tiada agama yang membenarkan penganutnya meminum arak.
Nik Muhammad Zawawi kemudian dicelah oleh Ahli Parlimen PH Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, yang mengatakan bahawa kenyataan itu tidak tepat dengan memberitahu bahawa agama lain membenarkan minum arak tetapi tidak memabukkan.
Beliau seterusnya mempertahankan kenyataannya dan berkata, kitab Injil ‘dipesongkan atau diubah’. – Oleh HAIKA KHAZI