2 OKT: Selepas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) disahkan positif COVID-19 kelmarin, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali serta semua Exco Kerajaan negeri menjalani ujian swab hari ini.
Ia berikutan Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, dikunjungi ADUN berkenaan yang positif COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Rahmad Mariman berkata, semua kepimpinan negeri itu juga menjalani kuarantin kendiri di kediaman masing-masing sekurang-kurangnya lima hari.
“Ujian swab sudah dilakukan pagi tadi dimulakan dengan Ketua Menteri, disusuli semua Exco sebelum disusuli dan pegawai, kakitangan sokongan termasuk pemandu jabatan serta agensi yang berada di kompleks berkenaan.
“Ia sebagai langkah berjaga-jaga kerana dikhuatiri mempunyai kontak dengan ADUN berkenaan,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.
Sementara itu, Rahmad berkata, empat kontak rapat Amiruddin itu sudah disaring di Klinik Kesihatan Masjid Tanah dan diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah.
“Kakitangan Kompleks Seri Negeri yang berisiko juga sudah menjalani ujian swab, sementara operasi di bangunan pentadbiran kerajaan negeri itu berjalan seperti biasa hari ini,” katanya.