3 OKT: Daripada 13,000 individu yang pulang dari Sabah sejak 20 September lalu, hanya 130 atau satu peratus yang dikesan positif COVID-19.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, itu pun bukan semua yang balik Sabah dalam tempoh itu kerana berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Katanya, ada juga dalam kalangan mereka yang pulang dari Sabah itu kerana ke negeri berkenaan untuk urusan perniagaan, melancong dan sebagainya.
“Ramai yang kata kerana ahli politik. Yang balik dari Sabah buat saringan 13,000 lebih dengan 130 lebih didapati positif iaitu satu peratus sahaja. Rakyat (reaksi) dah panik, macam seolah-olah separuh. Klaau sepatuh dah tujuh ribu lebih dah positif.
“Ini pun bercampur antara yang berkempen PRN dan mereka yang ke Sabah tujuan lain, melancong, perniagaan dan sebagainya.
“Saya tidak nafikan orang politik ada positif, tetapi tidak lah orang politik semata-mata,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kemarahan ramai ketika ini terhadap orang politik yang didakwa menjadi penyebab peningkatan semula kes COVID-19 kerana kegagalan mereka mematuhi SOP ketika kempen.
Menjawab soalan mengenai kenapa pulang dari Sabah tidak dikuarantin 14 hari yang dibangkitkan ramai ketika ini, Ismail Sabri berkata, perjalanan ke Sabah adalah negeri ke negeri.
Katanya, tidak pernah pula perjalanan antara negeri sama ada di Kedah yang menunjukkan jumlah kes tinggi kebelakangan ini dihalang ke negeri lain.
Jelas beliau, kuarantin 14 hari itu dibuat untuk ketibaan dari luar negara kerana pihak berkuasa tidak mepunyai maklumat seseorang individu pengembara berkenaan terutama penjejakan kontak.
“Namun yang balik dari Sabah, kita ada rekod semua. Kawasan mana di Sabah yang kes tinggi, mana yang kurang. Juga pengesanan kontak individu berkenaan. Siapa bersama beliau, ke mana dia pergi.
“Maka sebab itu tiada kuarantin wajib 14 hari dikenakan bagi yang pulang Sabah berbanding ketibaan dari luar negara yang mana kita tidak mepunyai sejarah lengkap seseorang individu itu termausk kontaknya.
“Kalau dari Papar, itu kawasan hijau kenapa nak kuarantin dia,” jelasnya.
Tambah beliau, Kedah sendiri mempunyai banyak kes dan ada dua kawasan PKPD sebelum ini tetapi tiada siapa pun yang datang dari Kedah dikuarantin dan diambil ujian swab.
“Adakah dari zon hijau seperti Kulim, masuk Pulau Pinang yang rentas negeri maka dia kena kuarantin 14 hari?. Adakah kalau Selangor yang jadi zon merah nanti, mereka yang dari Kajang iaitu zon hijau ke Kuala Lumpur kena kuarantin? Sedangkan Kajang zon hijau.
“Cuma sebagai langkah berjaga-jaga mereka (yang pulang dari Sabah) diarah jalani ujian swab, pakai gelang. Tapi sebab inter state ini tadi, mana-mana yang dapat keputusan negatif boleh potong gelang dan KKM akan keluar surat pelepasan.
“Walaubagaimapun KKM sentiasa menasihatkan untuk jaga kepentingan diri dengan menggalakkan kuarantin sedniri tetapi bukan mandatori,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID