3 OKT: Jualan Proton Holdings Bhd (Proton) meningkat dari Ogos ke September apabila syarikat automotif nasional itu mencapai keputusan positif bagi kadar jualan tahun ke tahun untuk bulan keempat berturut-turut.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton EDAR, Roslan Abdullah berkata, jumlah jualan pada bulan September adalah sebanyak 11,935 unit, kedua tertinggi bagi tahun 2020 bersamaan dengan penambahan 4.9 peratus berbanding bulan Ogos dan 12.5 peratus berbanding pada bulan yang sama pada tahun 2019.
“Proton telah menjual sebanyak 73,607 unit kenderaan pada tahun ini, bersamaan dengan pegangan pasaran sebanyak 21.6 peratus dan menduduki tempat kedua dalam industri automotif Malaysia,” kata Proton dalam satu kenyataan.
Tiga model Proton mencatatkan jualan tertinggi untuk segmen masing-masing, sama seperti bulan Ogos, tiga model Proton mendahului segmen masing-masing pada bulan ini.
SUV terlaris di Malaysia, Proton X70, telah mencatat jualan sebanyak 2,849 unit, prestasi jualan yang kedua terbaik dalam tahun 2020. Proton Persona dan Proton Exora juga kekal sebagai model terlaris dalam kelas masing-masing, katanya.
“Selepas jualan keseluruhan industri (TIV) melebihi 50,000 unit untuk tiga bulan berturut-turut, kami boleh membuat anggapan bahawa pasaran automotif Malaysia berada dalam keadaan stabil ketika ini.
“Proton merasa lega kerana pencapaian jualan bulanan ini melebihi jumlah jualan bulanan pada tahun lepas dan ini adalah penunjuk bahawa kita telah kembali ke tahap penjualan yang lestari,” katanya.
Proton X50 mendapat 20,000 tempahan dalam masa dua minggu selepas dilancarkan.
Pembuatan model ini di kilang pengeluaran baharu Proton di Tanjung Malim telah bermula pada 15 September lepas dan tempahan mula diterima pada hari berikutnya.
Setakat ini, dalam masa dua minggu selepas tempahan mula diterima, jumlah tempahan telah melebihi jangkaan.
“Pihak Proton ingin berterima kasih kepada para pelanggan yang menunjukkan minat yang amat tinggi kepada Proton X50.
“Kami di Proton akan memberi tumpuan kepada proses pengeluaran untuk memenuhi permintaan pelanggan dalam tiga bulan terakhir bagi tahun 2020 dan pada masa yang sama, turut memberi penekanan terhadap kualiti produk,” kata Roslan.