3 OKT: Malaysia tegas mahu mencapai matlamat dunia bebas senjata nuklear dengan komitmen terhadap Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW).
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, walaupun persekitaran keselamatan yang mencabar dan cabaran semasa COVID-19 ketika ini, kegigihan untuk pelucutan senjata mesti kekal.
“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Utama 1 Mengenai Pelucutan Senjata Nuklear pada Persidangan Kajian Semula TPNW 2020, Malaysia berharap Persidangan Kajian Semula dan persidangan terawalnya pada satu tarikh yang akan dipersetujui, akan berjaya membawa Negara Anggota ke arah mencapai matlamat dunia yang bebas daripada senjata nuklear,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hishammuddin membacakan kenyataan itu melalui rakaman video pada mesyuarat peringkat tinggi bagi memperingati dan mempromosikan Hari Penghapusan Senjata Nuklear Sedunia di New York.
Beliau berkata, status quo dunia dengan senjata nuklear tidak dapat diterima serta tidak mapan dan menjadi tanggungjawab semua untuk merealisasikan objektif dunia bebas senjata nuklear.
Undang-undang antarabangsa dan pendekatan multilateral untuk pelucutan senjata nuklear mesti diperkukuhkan, katanya sambil menambah, keselamatan untuk semua hanya dapat dijamin dengan penghapusan senjata nuklear secara menyeluruh.
“Sehubungan itu, saya dengan sukacitanya mengumumkan Malaysia baru-baru ini telah menyerahkan ratifikasi Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW).
“Kami yakin dengan berkuat kuasanya perjanjian itu akan mengukuhkan norma global terhadap senjata nuklear, menghantar mesej jelas bahawa senjata nuklear secara kategorinya tidak boleh diterima dan melengkapkan instrumen undang-undang antarabangsa sedia ada berkaitan pelucutan dan pengawalan senjata nuklear,” katanya.
Beliau berkata NPT kekal sebagai asas kerangka untuk pelucutan dan pengawalan senjata nuklear antarabangsa.