4 OKT: Orang ramai berang apabila seorang vlogger yang terkenal di China mati selepas dibakar oleh bekas suaminya.
Memetik laporan AFP, polis daerah Jinchuan mengesahkan wanita yang dikenali sebagai Lamu, 30, meninggal dunia di Sichuan, Rabu lalu.
Mangsa mempunyai lebih 885,000 pengikut di Douyin, iaitu aplikasi TikTok versi China dan kerap memuat naik video kehidupan hariannya mencari makanan di kawasan pergunungan dan memasak sambil mengenakan pakaian tradisional Tibet.
Kenyataan polis Khamis lalu mengesahkan laporan media tempatan bahawa bekas suami wanita itu yang dikenali sebagai Tang, mencurah petrol dan membakar mangsa di rumah pada 14 September lalu.
Wanita malang itu kemudian dipindahkan ke Hospital Awam Wilayah Sichuan untuk rawatan pada 17 September setelah tubuhnya melecur sehingga 90 peratus, kata kakaknya kepada Chengdu Commercial Daily.
Media tempatan turut melaporkan, Tang dipercayai menyerang Lamu ketika wanita sedang menyiarkan video secara langsung dan sebelum ini pernah berdepan masalah keganasan rumah tangga.
Dia kemudian ditahan atas dakwaan membunuh dengan sengaja.
Media tempatan melaporkan, pengikut Lamu berjaya mengumpulkan kira-kira satu juta yuan (RM613,000) untuk membiayai rawatannya di hospital selepas serangan itu.