5 OKT: Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, akan kembali bertugas mulai esok selepas keputusan tiga ujian saringan COVID-19 disahkan negatif oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Semberong, diberi pelepasan daripada menjalani kuarantin bermula hari ini apabila disahkan negatif COVID-19 selepas menjalani tiga ujian saringan virus itu.
Sebelum ini beliau diarahkan menjalani kuarantin di rumah sejak 22 September lalu kerana menjadi kontak rapat kepada calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pitas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sufian Abdul Karim, yang disahkan positif COVID-19, pada 21 September lalu.
Sehubungan pelepasan itu, kata Hishammuddin, beliau akan kembali menjalankan tugas di pejabatnya di Wisma Putra bermula esok.
“Susulan daripada tiga ujian saringan yang menunjukkan keputusan negatif, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Daerah Petaling mengeluarkan surat mengesahkan hasil pemeriksaan dijalankan pihak mereka, mendapati status kesihatan saya memuaskan.
“Mereka sekali gus memberikan ‘Pelepasan Dari Menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah Kediaman Bagi Kontak Terdekat Jangkitan (COVID-19) di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)’ kepada saya bermula tarikh hari ini (Isnin), 5 Oktober.
“Dengan pengesahan ini, saya akan kembali menjalankan tugas di pejabat saya di Wisma Putra, Putrajaya seperti sedia kala bermula esok, Selasa, 6 Oktober ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.
Hishammuddin memaklumkan, mula menjalani ujian saringan itu pada 22 September lalu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sebaik tiba dari Sabah, yang menunjukkan keputusan negatif.
Ujian saringan keduanya, pada 28 September lalu, disusuli ujian saringan ketiga semalam, dengan kedua-duanya turut menunjukkan keputusan negatif.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KKM dan semua petugas yang membantu saya dengan sebaik mungkin sepanjang tempoh saya menjalani kuarantin.
“Marilah kita sama-sama doakan, semoga urusan mereka dipermudahkan dan negara kita segera bebas daripada wabak ini, Insya-Allah,” katanya.