5 OKT: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, mengesahkan bahawa beliau disahkan positif COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Berikutan itu, beliau meminta orang ramai yang menghadiri majlis yang melibatkan kehadirannya sepanjang 24 September hingga 4 Oktober lalu supaya menjalani pemeriksaan saringan COVID-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera.
“Kepada Allah saya berserah, kepada-Nya jua saya memohon pertolongan. Seperti yang telah saya maklumkan dalam kenyataan pada hantaran (posting) sebelum ini, saya telah disahkan positif oleh Kementerian Kesihatan.
“Saya mohon maaf atas sebarang bentuk kelemahan dan kekurangan daripada diri saya.
“Insya-Allah, bantuan Mus’adah Khas Siswa Siri 2 yang saya janjikan semalam kepada siswa yang terkandas, tetap akan diteruskan oleh agensi-agensi agama di bawah saya,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook, hari ini.
Zulkifli berkata, program Musa’adah COVID-19 yang telah diaturkan, akan terus dijalankan seperti biasa di seluruh Malaysia kerana masih ramai yang memerlukan bantuan kewangan, barangan asas, makanan dan lain-lain dalam tempoh yang getir ini.
“Sejak Mac, bantuan disalurkan tanpa mengira agama dan bangsa. Pandemik COVID-19 benar-benar mengajar saya erti kebersamaan. Saya akan pastikan semua bantuan sampai kepada sasaran, insya-Allah.
“Saya berdoa kepada Allah SWT semoga Allah SWT selamatkan dan sembuhkan rakyat Malaysia yang menghidap COVID-19 termasuk diri saya. Saya sayang anda semua. Patuhi semua SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara di mana jua anda berada,” jelasnya.
Beliau juga bersyukur kerana keadaan kesihatannya bertambah baik.
“Alhamdulillah, sehingga saat ini keadaan kesihatan saya adalah bertambah baik. Terima kasih kepada Menteri Kesihatan Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dan para doktor serta barisan hadapan yang amat prihatin dengan keadaan saya. Sekian, terima kasih,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI