6 OKT: Empat lelaki disyaki pengganas yang mempunyai hubungan dengan jaringan militan Jemaah Islamiyah (JI) serta kaitan dengan kumpulan al-Qaeda ditahan polis di Indonesia.
Memetik laporan Agensi, jurucakap polis Indonesia, Argo Yuwono, dalam satu kenyataan berkata, suspek ditahan secara berasingan di Jawa Barat dan beberapa tempat sekitar kota Bekasi di timur ibu kota Jakarta.
“Suspek pertama, Muhammad Nasir, ditahan di Cikarang Selatan, Bekasi atas dakwaan membantu melindungi suspek pengganas Muhammad Tsabat Abdullah dan Soleh Habibi selain berlatih bersama kumpulan pengganas Adira pada 2012.
“Tasbat pula ditahan di kompleks perumahan Perumnas III di Aren Jaya, Bekasi Timur manakala seorang lagi suspek, Nur Muhammad Maulidi Kusnanto, ditahan di Bekasi.
“Suspek keempat, Irfan Gunawan, yang juga pemimpin tempatan JI, ditahan di Bekasi,” katanya.
Pasukan antikeganasan polis turut merampas buku mengenai jihad, senjata api dan peralatan tajam daripada keempat-empat suspek.
Kumpulan JI ekstremis berpusat di Indonesia menjadi dalang pengeboman Bali pada 2002 yang mengorbankan lebih 200 orang di pulau percutian itu.
Ia diisytiharkan sebagai pertubuhan haram pada 2018.