6 OKT: Seorang bekas Ketua Penolong Setiausaha (KPSU) di sebuah kementerian direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes pemberian tender membekalkan baja bernilai RM118 juta.
Menurut sumber, lelaki berusia 42 tahun yang kini menjadi pengarah di sebuah pusat latihan ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, semalam.
“Siasatan awal SPRM mendapati suspek disyaki menerima rasuah daripada syarikat-syarikat pembekal baja yang memasuki tender membekalkan baja di kementerian terbabit.
“Difahamkan tender itu sudah diberikan kepada tiga syarikat milik individu yang sama dengan nilai tender berjumlah RM118 juta bagi tempoh dua tahun dari 2019 hingga 2020,” katanya.
Berikutan itu, SPRM kini menjalankan siasatan kes atas suspek mengikut seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Tambah sumber itu lagi , suspek dihadapkan di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini dan diluluskan permohonan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 12 Oktober 2020.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek namun enggan mengulas lanjut. – Oleh HAIKA KHAZI