6 OKT: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan sedang menjalani kuarantin kendiri di kediamannya selepas menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 3 Oktober lalu.
Langkah tersebut diambil beliau kerana mesyuarat itu telah dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dilaporkan sah positif COVID-19 semalam dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Perkara itu disahkan seorang pegawai kanan daripada Unit Komunikasi Korporat (UKM) Kementerian Kesihatan.
Pegawai tersebut juga memaklumkan sepanjang tempoh kuarantin 14 hari yang bermula 3 Oktober lalu, Dr Noor Hisham akan mengadakan sidang media berjadual secara langsung dari kediamannya, tanpa kehadiran wakil media.
“Untuk makluman, DG (Ketua Pengarah) sedang kuarantin kendiri.
“Facebook (FB) Kementerian Kesihatan akan siarkan PC (sidang media) DG (Ketua Pengarah) secara langsung jam 5.30 petang dari rumah beliau tanpa kehadiran media.
“Sebutkan nama dan media. DG akan menjawab soalan-soalan yang bertepatan,” katanya.
Susulan keputusan positif COVID-19 Zulkifli itu, semua individu yang hadir dalam mesyuarat berkenaan, termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengikut peraturan Kementerian Kesihatan menjalani kuarantin wajib.