6 OKT: Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing menafikan terlibat dalam komplot Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Malah beliau berikar menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali gus mengakhiri spekulasi yang mengaitkan namanya dengan senarai Ahli Parlimen yang didakwa menyokong Anwar.
Menurut King Sing, tindakan Anwar baru-baru ini yang mendakwa memiliki sokongan majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara merupakan satu contoh drama terdesak pemimpin pembangkang itu untuk merampas kuasa dan mengelirukan rakyat.
“Saya sama sekali menolak dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai berita palsu dan khabar angin semata-mata. Malah kebanyakan maklumat berkaitan yang disiarkan dalam kesemua portal terbabit adalah kabur dan bersifat spekulasi.
“Saya pelik bagaimana nama saya dan Anyi Ngau (seorang lagi Ahli Parlimen PDP) boleh berada dalam senarai itu… Kami (PDP) mungkin rakan komponen yang kecil namun kami mempunyai integriti dan prinsip, bukan seperti sesetengah parti yang hanya bertindak menyokong sesiapa sahaja yang dilantik sebagai PM.
“Tanpa sebarang kepastian, saya menggesa rakyat agar tidak mempercayai khabar angin mengarut serta tidak berasas ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, beberapa portal berita mengaitkan Ahli Parlimen Bintulu itu dengan senarai beberapa Ahli Parlimen yang kononnya menyokong komplot Anwar itu.
King Sing juga berharap agar semua ahli politik meletakkan kepentingan rakyat dan negara di tempat paling utama.
“Ini boleh dilakukan oleh ahli politik dengan mengambil langkah segera menghentikan semua tindakan yang boleh menjejaskan keutuhan negara serta melakukan segala yang terdaya untuk memerangi penularan pandemik COVID-19 bagi memulihkan ekonomi.
“Cara yang betul untuk mentadbir negara ialah dengan mengayakan rakyat. Saya dengan ikhlas berharap agar semua ahli politik, termasuk pembangkang, boleh bersama-sama menyokong serta membantu Perdana Menteri ketika ini untuk memulihkan negara kita,” katanya.