6 OKT: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyampaikan perutusan khas mengenai situasi semasa COVID-19, petang ini.
Muhyiddin akan menyampaikan perutusan itu dari kediamannya dan disiarkan secara langsung menerusi beberapa saluran televisyen termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada jam 6 petang.
Perkara itu dikongsikan Muhyiddin dalam laman Facebook rasminya hari ini.
Perdana Menteri kini sedang menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari di kediamannya selepas menjadi kontak kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif COVID-19.
Kedua-dua mereka hadir pada Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Sabtu lepas.
Zulkifli kini dirawat di sebuah hospital di Seremban.