6 OKT: Rakyat Malaysia tiada pilihan lain melainkan bersatu hati dalam memerangi musuh ‘nombor satu’ negara sekarang iaitu wabak COVID-19
Berikutan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengajak rakyat bersatu dan berhenti menuding kesalahan pihak lain atas perkara yang sudah berlaku.
Dr Noor Hisham menjelaskan, pilihan rakyat Malaysia ketika ini adalah sama ada semua rakyat boleh bersatu untuk memutuskan rantaian jangkitan atau membiarkan angka jangkitan baharu COVID-19 terus meningkat.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekarang memberi fokus untuk mengawal pergerakan komuniti skala besar yang dikhuatiri boleh menyebabkan risiko penularan lebih besar.
“Di mana kita mahu berada, kita perlu memutuskan sama ada bersatu melawan musuh bersama atau terus membiarkan angkanya berulang-ulang ketika jumlahnya kini semakin meningkat. Barisan depan kami sudah berada di lapangan.
“Kita memerlukan solidariti dan perpaduan yang kuat, bersama-sama kita boleh melawan musuh ini dengan lebih baik,” katanya dalam satu Twitternya di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham turut menunjukkan tiga model yang sedang diteliti KKM mengenai jangkaan kes positif COVID-19 yang ketika ini sudah mula menunjukkan trend peningkatannya.
Berdasarkan data dikongsi Dr Noor Hisham, tiga model trend jangkitan itu termasuk peningkatan mendadak kes selepas 9 Oktober ini manakala dua lagi, penurunan kes positif baharu bermula 9 Oktober atau data sedikit mendatar selepas tarikh berkenaan.
“Kami mempunyai tiga senario, tiga model yang berbeza, dan semuanya memberikan output yang hampir serupa. Grafik ini adalah yang paling mudah untuk menggambarkan senario semasa kami. Mari kita semua bersatu untuk meratakan lekukan lagi,” katanya.
Media semalam melaporkan, jumlah kes positif COVID-19 merekodkan 432 kes, iaitu bilangan tertinggi pernah dicacat sejak Mac, namun sebahagian besar penularan kes baru itu berlaku membabitkan kluster yang terkawal.