7 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan dua lelaki di Kota Bharu, Kelantan semalam, bagi membantu siasatan kes pencemaran Sungai Batang Benar, dekat Nilai, Negeri Sembilan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, suspek berusia 20-an dan 30-an itu ditangkap dan kini dalam siasatan terperinci oleh pihak polis.
“Kita baru tangkap dua lelaki tengah hari semalam. Beri kita masa jalankan siasatan, kita tidak mahu terburu-buru atau tergesa-gesa.
“Ini isu yang sensitif, kita tidak mahu ada unsur kecuaian dalam hal ini,” katanya pada sidang media, di Cheras, hari ini.
Terdahulu, loji rawatan air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihentikan tugas susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih dan Sungai Langat, yang menjejaskan 309,605 akaun, sejak jam 4.30 petang, Ahad lalu.
Kejadian itu dikatakan berpunca daripada aktiviti pencucian secara besar-besaran di kawasan reban itik dan angsa di tepi Sungai Pajam, serta Kawasan Perindustrian Nilai 3, Negeri Sembilan.
Sebanyak 46 daripada 274 kawasan yang terbabit dengan gangguan air berikutan henti tugas dua LRA berkenaan sudah menerima bekalan air sepenuhnya, pada jam 6 pagi tadi.
Sementara itu, Acryl Sani mengesahkan dua pegawai kanan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
Beliau berkata, pihaknya masih belum mendapat laporan lengkap berhubung penahanan berkenaan.
“Kita masih menunggu sama ada dua pegawai itu ditahan atas kes berkenaan (cuci duit) atau kes lain.
“Saya tidak boleh ulas kerana siasatan dijalankan SPRM,” jelasnya.