7 OKT: Lapan pendatang asing maut dan 12 lagi hilang selepas penyeludup memaksa mereka turun dari sebuah bot berhampiran Djibouti, baru-baru ini.
Memetik laporan AFP, jurucakap Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM), Yvonne Ndege berkata, pendatang berkenaan semuanya dipercayai warga Ethiopia.
Mereka dikatakan berpatah balik selepas gagal memasuki Arab Saudi melalui Yaman berikutan penutupan sempadan akibat pandemik COVID-19.
“Sekurang-kurang lapan pendatang maut, manakala 12 lagi hilang di laut selepas dipaksa turun dari bot oleh penyeludup di luar pesisir Djibouti.
“Menurut saksi terselamat yang dibantu IOM, tiga penyeludup memaksa mangsa turun dari bot ketika masih berada di laut,” katanya.
Ndege memberitahu, sebanyak 34 individu berada di atas bot itu yang menuju ke Obock, iaitu lokasi transit utama di Djibouti bagi ribuan pendatang Afrika di rantau ini yang cuba memasuki negara Teluk.