7 OKT: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berharap agar kuasa membuat pertimbangan di luar kebiasaan seperti menutup sesi persekolahan secara fizikal diberikan kepada jabatan pendidikan negeri (JPN) yang terletak dalam zon jangkitan pandemik COVID-19.
Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, pertimbangan sama harus diberikan kepada pihak yang mempunyai kaitan dengan sekolah termasuk pejabat pendidikan daerah (PPD) dan pihak pentadbiran sekolah sendiri supaya tindakan pantas dapat diputuskan membabitkan penutupan operasi institusi itu.
Menurut beliau, kedua-dua agensi tersebut serta pentadbiran sekolah lebih mengetahui situasi sebenar yang berlaku termasuk keseriusan keadaan institusi berkenaan berdepan dengan ancaman kes COVID-19.
“Arahan penutupan sesebuah sekolah akibat COVID-19 dibuat atas saranan dan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Dari segi kerenah birokrasinya memang banyak perlu melaluinya.
“Jadi kita mengharapkan untuk tempoh terdekat bukan sentiasa (dilaksanakan), upayakan supaya JPN dan PPD mempunyai kuasa untuk menutup sekolah- sekolah pada pertimbangan mereka yang wajar ditutup bagi mengekang penularan COVID-19,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.
Dalam pada itu, Aminuddin menegaskan, langkah ini harus dilaksanakan segera apatah lagi jika keadaan di sekolah itu sudah jelas menunjukkan ketidakselesaan dalam kalangan murid dan guru.
“Perlu memberi keutamaan khususnya kepada pelajar sekolah rendah yang lebih terdedah kerana di luar sekolah kita tahu dari segi SOP ini tetapi mereka tidak tahu.
“Dan bila mereka dah masuk sekolah baru mereka ikut SOP. Jadi, ini merisaukan kita khususnya sekarang ini yang penularan begitu memuncak sekali,” katanya.
Pada masa sama, Aminuddin meminta Kementerian Pendidikan membenarkan sekolah yang terletak dalam zon jangkitan pandemik COVID-19, melaksanakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), berbanding persekolahan secara bersemuka.
“Meskipun penutupan sekolah secara fizikal dilaksanakan, kelas pembelajaran secara dalam talian boleh diteruskan seperti biasa.
“Murid tak perlu hadir ke sekolah. Hanya cikgu sahaja yang perlu hadir dan melaksanakan pembelajaran secara online sahaja agar dapat membendung kes penularan COVID-19 dalam kalangan pelajar,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH