7 OKT: Halal Development Corporation (HDC) merancang untuk melancarkan Platform Bersepadu Halal (HIP) pada suku pertama tahun depan sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mempromosikan Malaysia sebagai hab ekonomi digital halal.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah itu akan membolehkan negara memanfaatkan pelbagai aspek transformasi digital sejajar dengan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).
Menurut beliau, HIP akan menghubungkan penggiat industri halal tempatan dengan penggiat halal global selain membantu syarikat meningkatkan keupayaan perniagaan mereka, yang disokong oleh pensijilan halal.
“Syarikat yang diperakui halal dalam HIP akan dipromosikan sebagai syarikat halal premium Malaysia dalam pasaran antarabangsa dan domestik,” katanya dalam ucapan maya pada World Halal Night & Halal Excellence Award 2020 di Kuala Lumpur, malam tadi.
Pada acara itu, HDC memberikan Anugerah Kecemerlangan Personaliti Halal kepada Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF), Tun Musa Hitam atas kepimpinannya yang luar biasa dalam komitmennya kepada ekonomi halal.
Pemenang lain adalah QSR Brands (M) Holdings Bhd (Anugerah Kecemerlangan Jenama Halal), Yotsuba Milk Products Co Ltd yang berpangkalan di Jepun (Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Antarabangsa Halal) serta Institut Penyelidikan dan Latihan Halal Antarabangsa (Anugerah Kecemerlangan R&D Halal).
Sebanyak 12 anugerah diberikan kepada pelbagai sektor dalam perusahaan kecil dan sederhana, logistik, farmaseutikal, kosmetik dan penjagaan diri, francais, dapur pusat, penyelidikan dan pembangunan, jenama terkemuka, makanan dan minuman serta perniagaan antarabangsa.
Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lim Ban Hong.