8 OKT: Khidmat bakti Allahyarham Datuk Paimuzi Yahya yang merupakan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada negara khususnya dalam pentadbiran hal ehwal Islam amatlah dihargai, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Istana Negara dalam catatan Facebook rasmi memaklumkan, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Paimuzi dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka baginda mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut kenyataan itu.
Paimuzi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sungai Buloh kira-kira 1 tengah hari tadi akibat komplikasi jantung dan paru-paru.
Sementara itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Paimuzi.
“Bagi pihak kerajaan, saya menzahirkan ucapan terima kasih atas segala jasa dan khidmat bakti Allahyarham semasa dalam perkhidmatan.
“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan kepada negara dan institusi agama Islam secara khususnya.
“Saya terkilan kerana tidak dapat menziarahi jenazah Allahyarham kerana sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah.
“Sama-samalah kita berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” ujarnya menerusi satu hantaran di Facebook beliau sebentar tadi.