8 OKT: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor akan menjalani proses kuarantin kendiri selama dua minggu mulai hari ini.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berbuat demikian secara sukarela selepas terdedah kepada individu yang positif COVID-19.
“Untuk makluman Yang Amat Berhormat Ketua Menteri telah secara sukarela mengambil keputusan menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu bermula hari ini.
“Tindakan itu perlu kerana beliau menjadi kontak rapat dan terdedah dengan individu yang kemudian disahkan positif COVID-19,” katanya.
Pada masa yang sama, Safar menjelaskan, kerajaan negeri Sabah berfungsi seperti biasa dan sebarang mesyuarat akan dilakukan melalui sidang video. – Oleh HAIKA KHAZI