8 OKT: Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Paimuzi Yahya meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan paru-paru di Hospital Sungai Buloh, pada jam 1 tengah hari tadi.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marzuk Shaary, dalam status di laman Facebook miliknya sebentar tadi.
“Telah kembali ke rahmatullah sekejap tadi Ketua Pengarah JAKIM, Dato Paimuzi Yahya di Hospital Sungai Buloh.
“Semoga Allah merahmati dan mengampuni beliau, memberikan ketabahan buat seluruh ahli keluarganya serta keluarga besar JAKIM, seorang yang sangat baik setakat saya kenali. Satu kehilangan besar buat negara kita,” katanya.
Sementara itu, JAKIM dalam kenyataan media memaklumkan, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumah beliau di Kuang, Selangor untuk urusan pengkebumian pada petang ini.
“Semoga roh al-marhum dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan yang beriman. Al-Fatihah,” jelasnya.
Dilahirkan di Terengganu pada tahun 1961, Allahyarham berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (1985) dan Ijazah Sarjana (1995) dalam bidang Syariah dari Universiti Malaya.
Beliau mula menyertai perkhidmatan awam pada tahun 1986 dengan memulakan tugas sebagai Penolong Pengarah Pusat Penyelidikan Islam Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.
Sebagai pegawai yang berpengalaman dalam perkhidmatan awam, Allahyarham memegang beberapa portfolio penting antaranya pengarah di beberapa bahagian di JAKIM iaitu Pengarah JAKIM Sabah pada tahun 2005, Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) tahun 2008, Pengarah Darul Quran tahun 2010 dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) tahun 2013.
Pada 5 Oktober 2016, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) JAKIM dan pada 1 Mei 2017, beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM pada 1 April 2018.
Ketika menjadi Pengarah JAWI, beliau pernah mengambil tindakan ke atas dua kes besar iaitu Ustaz Kasanova dan ajaran sesat Millah Abraham, kira-kira enam tahun lalu. – Oleh HAIKA KHAZI