8 OKT: Polis telah memulakan siasatan berhubung penularan gambar Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang diedit sehingga mengaibkan beliau dan ditularkan dalam media sosial.
Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis telah menerima satu laporan berhubung penularan gambar yang diedit oleh individu tidak bertanggungjawab itu.
“Satu laporan polis dibuat di Senawang, Seremban, Negeri Sembilan semalam. Kertas siasatan telah dibuka dan polis sudah mulakan siasatan mengenai kes perbuatan itu berdasarkan laporan polis yang diterima.
“Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan menyiasat kes di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya.
Dalam gambar yang tular itu, Dr Noor Hisham dipaparkan kononnya sedang mengendalikan sidang media situasi harian COVID-19 dalam posisi duduk di atas kerusi kononnya dengan berkot hitam tanpa memakai seluar panjang.
Gambar itu ditularkan oleh seorang pengguna dan pemilik akaun Facebook yang tidak bertanggungjawab yang disyaki untuk melawak tetapi dikecam netizen sebagai tindakan biadab, memperlekeh dan menghina imej pegawai kanan Kementerian Kesihatan Malaysia yang mengetuai barisan hadapan petugas kesihatan dalam mencegah COVID-19 sejak Mac lalu.
Gambar itu ditularkan oleh akaun Facebook bernama MGAG dengan tertera perkataan “work from home vibes..meme by Cho Jun Yang. DG Hisham doing live broadcast from quarantine.”
Insiden itu berlaku semalam sekitar jam 5.45 petang semalam ketika Dr Noor Hisham sedang menyampaikan perkembangan terkini kes COVID-19 secara langsung dalam Facebook ketika menjalani kuarantin kendiri di kediamannya.
Kira-kira jam 7 malam tadi, pemilik akaun bernama Cho Jun Yang memohon maaf atas kesilapannya kerana membuat lawak hambar Dr Noor Hisham tidak pakai seluar semasa membuat siaran langsung.
Dia menyatakan tidak berniat menghina namun berbuat demikian untuk mengurangkan ketegangan ekoran penularan COVID-19 di negara ini.
Walau bagaimanapun, sebahagian besar netizen tidak menerima alasan itu dan mahu siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.