9 OKT: Seramai 70 daripada keseluruhan 73 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah Jumaat mengangkat sumpah di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya.
Majlis angkat sumpah itu diadakan di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas ADUN berkenaan memenangi kerusi DUN masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September lepas. Turut mengangkat sumpah pada majlis sama, ialah empat daripada enam ADUN yang dilantik.
Memetik laporan Bernama, upacara angkat sumpah itu didahului Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga ADUN Lamag diikuti dua lagi Timbalan Ketua Menteri iaitu ADUN Tambunan Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan ADUN Kundasang Dr Joachim Gunsalam.
Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga bekas Ketua Menteri Sabah turut mengangkat sumpah sebagai ADUN Senallang.
Empat ADUN dilantik yang mengangkat sumpah hari ini ialah Setiausaha PAS Sabah Dr Aliakbar Gulasan menjadi wakil PAS pertama mengangkat sumpah sebagai ADUN, Bendahari UMNO Sabah Suhaimi Nasir; bekas Ahli Parlimen Tenom Datuk Raime Unggi; dan bekas ADUN lantikan kerajaan negeri terdahulu Jaffari Waliam.
Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor juga ADUN Sulaman merupakan antara tiga ADUN yang tidak hadir pada majlis angkat sumpah itu kerana sedang menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu bermula semalam (8 Sept) setelah terdedah kepada individu didapati positif COVID-19.
Dua ADUN lagi yang tidak hadir ialah ADUN Sulabayan Datuk Jaujan Sambakong dan ADUN Bugaya Datin Manis Muka Mohd Darah.
Sementara ADUN yang dilantik tidak hadir ialah Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee dan Naib Ketua Srikandi Bersatu Sabah Datuk Amisah Yassin.
Dalam PRN lepas, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) memenangi 38 kerusi daripada 73 keseluruhan kerusi sekali gus berjaya membentuk kerajaan baharu.
Sementara Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan, Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), DAP, PKR dan Amanah hanya memenangi 32 kerusi.
Pada 29 Sept lepas, Hajiji yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-16 di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.