9 OKT: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesahkan gangguan air tidak berjadual di 274 kawasan di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya merangkumi 309,687 akaun pelanggan sudah pulih sepenuhnya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman berkata, air bersih yang disalurkan sudah melalui ujian kualiti dan pematuhan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Secara keseluruhannya, Pelan Pemulihan Bekalan Air berjaya dilaksanakan 12 jam lebih awal daripada yang dijadualkan setelah Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi kembali beroperasi.
“Terima kasih kepada semua pihak, khususnya pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan dalam tempoh gangguan itu.
“Terima kasih semua operator air iaitu Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd, Pengurusan Air Pahang Berhad, Syarikat Air Melaka Berhad, Lembaga Air Perak, Syarikat Ranhill SAJ Sdn Bhd, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd dan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd yang turut membantu dalam pengagihan bekalan air kepada pengguna terjejas.
“Selain pihak berkuasa yang bertindak segera dalam menyelesaikan isu pencemaran air mentah di Sungai Semenyih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suhaimi berkata, Air Selangor menggalakkan kerjasama daripada pihak berkuasa serta pengguna untuk sama-sama memelihara sungai daripada tercemar.
Katanya, Air Selangor akan berusaha memberi sokongan kepada komuniti dalam inisiatif untuk menjaga dan memelihara sungai. – Oleh HAIKA KHAZI