9 OKT: Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berharap penjenayah alam sekitar yang menyebabkan lebih 309,000 pengguna di 274 kawasan di Lembah Klang, mengalami gangguan bekalan air selama beberapa hari, akan dihadapkan ke muka pengadilan, dalam masa terdekat.
Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS juga melahirkan rasa bersyukur kerana masalah bekalan air akibat pencemaran air di muka sauk Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi kini sudah pulih seperti sediakala.
“Alhamdulillah. Bekalan air telah pulih 100 peratus. Penjenayah alam sekitar mesti diadili dengan segera. Insya-Allah akan kemas kini isu ini jika ada perkembangan lanjut. Terima kasih semua!” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya sebentar tadi.
Beberapa individu terlibat dengan pencemaran Sungai Batang Benar yang menyebabkan pencemaran bau pada sumber air Sungai Semenyih telah ditahan polis kelmarin.
Sebelum ini, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesahkan gangguan air tidak berjadual di 274 kawasan di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya merangkumi 309,687 akaun pelanggan sudah pulih sepenuhnya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman berkata, air bersih yang disalurkan sudah melalui ujian kualiti dan pematuhan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Secara keseluruhannya, Pelan Pemulihan Bekalan Air berjaya dilaksanakan 12 jam lebih awal daripada yang dijadualkan setelah Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi kembali beroperasi.
“Terima kasih kepada semua pihak, khususnya pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan dalam tempoh gangguan itu.
“Terima kasih semua operator air iaitu Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd, Pengurusan Air Pahang Berhad, Syarikat Air Melaka Berhad, Lembaga Air Perak, Syarikat Ranhill SAJ Sdn Bhd, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd dan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd yang turut membantu dalam pengagihan bekalan air kepada pengguna terjejas.
“Selain pihak berkuasa yang bertindak segera dalam menyelesaikan isu pencemaran air mentah di Sungai Semenyih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suhaimi berkata, Air Selangor menggalakkan kerjasama daripada pihak berkuasa serta pengguna untuk sama-sama memelihara sungai daripada tercemar.